Saturday, June 26, 2010

Jambatan Baru Sungai Rambai - Sudah-sudahlah tu...

Merujuk laporan Bernama bertarikh 26 Jun 2010, kerajaan negeri Melaka melalui exconya ingin mendapatkan persetujuan kerajaan Johor untuk meroboh dan membina semula jambatan lama yang menghubungkan negeri Melaka dan Johor di Sungai Kesang. Jambatan ini terletak di laluan persekutuan lama Melaka - Muar tidak jauh dari Kawasan Rekreasi Sungai Rambai yang telah dimajukan oleh kedua-dua negeri tersebut.

Antara tujuan membina semula jambatan ini tidak lain - bagi membolehkan bot pelancongan melepasi bahagian bawah jambatan dengan selesa apabila laluan projek pelancongan yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Melaka diperluaskan sehingga ke muara Sungai Kesang. Menurut Datuk Seet Har Cheow, peruntukan untuk melaksanakan projek tersebut mungkin dibiaya oleh kerajaan pusat atau kedua-dua kerajaan negeri.

Pada pendapat saya, tidak ada salahnya untuk berbelanja kepada sesuatu yang bakal menjanjikan manfaat kepada warga dan negeri Melaka. Namun yang menjadi kemusykilan saya ialah adakah projek-projek seperti ini perlu disegerakan? Pihak-pihak yang terlibat janganlah terlalu tergesa-gesa untuk mengusulkan 'rancangan indah' di saat masih banyak perkara yang menuntut perbelanjaan yang serius dari kerajaan.

Sebagai contohnya, sekitar kawasan bandaraya Melaka baru sahaja dilanda banjir kilat pada 23 Jun yang lalu. Mengikut maklumat dari media-media cetak, terdapat kawasan yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir tersebut kini sudah acapkali menerima nasib kurang baik. Seperti biasa, pihak berwajib telah menuntut sejumlah peruntukan untuk menangani masalah tersebut.

Suka juga saya mengulas bahawa kerajaan Melaka baru sahaja menerima khabar gembira dari Perdana Menteri Malaysia bahawa Melaka River Cruise akan dipanjangkan lagi laluannya. Gesaan saya, tolonglah fokus! Kerajaan nampaknya tidak belajar dari pengalaman. Janganlah akibat kemajuan sesuatu produk akan membunuh produk lain pula.

Warga bandaraya Melaka tentunya sudah maklum bahawa kerja-kerja penggantian Jambatan Panglima Awang berhampiran Hotel Naza bakal bermula tidak lama lagi. Pembinaan semula Jambatan Hang Tuah juga masih belum selesai. Semua orang tahu apabila kerja-kerja pembinaan dimulakan, siapakah yang akan menanggung kepayahan? Bukankah rakyat juga?

No comments:

Post a Comment