Wednesday, July 28, 2010

Penambah baikan Sistem Pengangkutan Di Melaka… Pandangan Bernas!

Dewan Undangan Negeri Melaka ketika ini (26 Julai) sedang membahaskan usul penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam Negeri Melaka. Tabung ini dijangka dapat membantu ke arah meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Melaka khususnya perkhidmatan bas yang ketika ini kelihatan amat daif sekali.

Antara wakil rakyat (ADUN) yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ayer Keroh, Encik Khoo Poay Tiong. Memetik laporan Bernama, antara lain beliau meminta agar Melaka mencontohi Singapura dalam meningkatkan kemudahan pengangkutan awam terutama perkhidmatan bas ke setiap pelusuk negeri daripada menyediakan sistem pengangkutan berupa projek-projek mega seperti aerorail atau monorail.

Menurut Khoo lagi, projek pembinaan sistem pengangkutan seperti teksi sungai, aerorail, monorail yang dalam perancangan kerajaan negeri tidak harus dijalankan kerana projek itu tidak menepati keperluan golongan sasaran. Beliau berkata sistem pengangkutan awam di Melaka pada masa kini menyukarkan para penggunanya untuk sampai ke destinasi mereka.

"Kerajaan negeri juga harus mempertimbangkan pengangkutan bas mini untuk memasuki laluan di taman-taman perumahan yang tidak dilakukan pada masa kini," katanya. Khoo juga mahu kerajaan negeri tidak menubuhkan anak syarikat bagi menceburi bidang pengangkutan awam kerana usaha kerajaan negeri sebelum ini menerusi satu anak syarikatnya yang menyediakan perkhidmatan bas panorama gagal mencapai matlamatnya.

Saya menyifatkan pandangan beliau sebagai sangat bernas. Manakan tidak, di saat kemelesetan ekonomi seperti sekarang, mengapa pihak kerajaan harus berbelanja besar kepada projek-projek yang tidak lebih dari ‘sedap mata memandang’ dan ‘enak telinga mendengar’? Sudah terlupakah kawasan luar bandar dalam negeri Melaka ini yang masih lagi menggunakan perkhidmatan bas yang ‘hidup segan mati tak mahu’?

Seperti entri saya sebelum ini, saya amat menyokong usaha-usaha untuk menambah baik kemudahan untuk rakyat. Para penguasa perlu mempunyai idea yang realistik dan ideal sesuai dengan keperluan. Dalam waktu sekarang, keperluan meningkatkan pengangkutan konvensional seperti bas adalah lebih mendesak. Lupakanlah projek-projek ‘negara maju’ buat sementara. Yang penting, siapakah akhirnya golongan sasar yang akan menggunakannya, kalau bukan RAKYAT…

1 comment:

  1. salam ziarah, boleh tak dapat kan jadual perjalanan bas panorama di melaka?

    ReplyDelete