Monday, June 14, 2010

Pengangkutan Awam di Melaka - Bila nak berubah?

Sebagai salah seorang pengguna pengangkutan awam di negeri ini, pembukaan Melaka Sentral secara rasminya pada 1 Mei 2004 amat dinanti-nantikan. Sebuah terminal pengangkutan awam yang mengintegrasikan perkhidmatan bas ekspres, bas dalam negeri dan teksi di bawah satu bumbung yang selesa akhirnya menjadi kenyataan selepas mengharungi kisah suka duka yang seakan tidak berpenghujung.

Masih segar dalam ingatan, sekitar tahun 1996 - 1997 ketika perhentian bas Melaka masih 'tunggang-langgang' di Jalan Tun Ali dan tebing Sungai Melaka. Negeri Melaka dan seluruh warganya boleh sahaja memadam nostalgia betapa tidak selesanya keadaan di sana. Saya masih belum lupa pengalaman menjamu selera di gerai usang sebelum menaiki bas ekspres, bersesak-sesak menggunakan kemudahan surau yang 'basah', dan membeli belah di Ocean menjelang musim perayaan pada tahun 1998.

Saya boleh sahaja menjadikan artikel ini sebagai medan untuk berkongsi pengalaman di masa lampau namun bukanlah itu menjadi keutamaan saya. Apa yang ingin disentuh ialah mutu pengangkutan awam di Melaka yang masih seperti zaman 'Tok Adam'. Saya masih ingat lagi pengalaman berkunjung ke beberapa bandar yang setaraf dengan Melaka seperti Seremban dan Sungai Petani.

Sekitar tahun 1997, saya telah ke Seremban untuk menziarahi seorang kawan ex-classmate di Panchor Jaya. Apa yang menarik ialah saya boleh sampai ke taman tersebut hanya dengan menaiki bas City Liner yang beroperasi sehingga jam 9 malam. Dalam hati ini terdetik, bilakah perkhidmatan ini boleh dimulakan di Melaka? Begitu juga keadaannya di Sungai Petani pada tahun 2009.

Apabila saya telah ditukarkan tempat bertugas dari Jasin ke Sik, Kedah, Sungai Petani adalah satu-satunya bandar moden yang terhampir. Saya amat teruja dengan perkhidmatan bas di sana. Walaupun keadaan stesen basnya lebih 'sedih' daripada Melaka, namun operasinya amat efisien dan bas yang memberikan perkhidmatan agak selesa.

Pengalaman menaiki bas MARA Liner dari Sungai Petani ke Sik merupakan kenangan yang sukar dilupakan. Walaupun terpaksa berebut-rebut dengan pelajar, keadaan bas dan mutu perkhidmatan jauh lebih baik daripada sesetengah syarikat pengangkutan di Melaka Sentral. Dari hari ke hari, saya mengikuti perkembangan perkhidmatan bas di Melaka dengan serius sekali.

Entah kenapa, sehingga artikel ini ditulis, harapan untuk melihat pengangkutan awam mengalami anjakan paradigma ibarat 'menunggu buah yang tidak jatuh'. Mungkin kerajaan negeri perlu campur tangan lagi. Bagi saya, tidak perlulah Melaka merancang pengangkutan canggih. Mengapa perlu membazirkan wang rakyat berjuta-juta untuk membina monorel yang belum pasti menjanjikan keuntungan dan keberkesanan.

Mengapa kerajaan negeri tidak mahu duduk semeja dengan pengusaha pengangkutan awam apabila mahu memperkenalkan projek-projek awam? Adakah kerajaan negeri mahu berniaga sendirian, dan pengusaha yang lain gulung tikar? Terminal Melaka Sentral perlu digunakan semaksimum mungkin, barulah berfikir tentang servis yang lain.

Sayang sekali, selepas Melaka memiliki sebuah terminal pengangkutan yang selesa, kita masih belum melihat kejayaan evolusi pengangkutan awam di negeri ini...

No comments:

Post a Comment