Monday, April 18, 2011

Dengarlah keluhan kami...

Sori gambar lama... Kredit kepada arifbijaksana

Walaupun bulan April ini belum berakhir, sudah ada dua laporan dalam media arus perdana mengenai bantahan yang dibuat oleh pihak berkepentingan terhadap pengangkutan awam di Melaka. Memetik laporan Utusan Malaysia pada 10 April, Persatuan Pengusaha Bas Melaka meminta kerajaan Melaka mengotakan janjinya dua tahun dahulu untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM 36 juta sebagai usaha untuk menaiktaraf bas-bas yang beroperasi di Melaka.

Presidennya, Razali Endun berkata, janji kerajaan negeri mahu membantu pengusaha menaik taraf bas awam yang semakin uzur perlu ditunaikan segera kerana operasi syarikat bas di Melaka Sentral kini semakin tenat ekoran dihimpit masalah kewangan yang serius. Katanya, ia disebabkan operasi bas milik anak syarikat kerajaan negeri iaitu bas Panorama dan Rapid yang didakwa mengganggu laluan bas henti-henti dalam bandar.

Saya turut sependapat dengan beliau, malah dalam entri blog saya sebelum ini, saya sudah menjangkakan bahawa kehadiran Panorama Melaka akan 'menamatkan riwayat' perkhidmatan bas yang sedia 'hidup segan, mati tak mahu'. Nampaknya, dalam empat bulan pertama tahun ini, rintihan pengusaha bas ini sudah tidak dapat dibendung lagi. Kos senggaraan semakin bertambah, jumlah penumpang semakin berkurangan. Mereka juga dibebani hutang dan tindakan kompaun, menurut laporan Utusan itu.

Laporan kedua pula menyusul pada 17 April dalam akhbar yang sama apabila 50 pemandu teksi yang beroperasi di Pantai Puteri, Tangga Batu dan Sungai Udang membantah kehadiran bas Panorama yang memulakan operasi pada awal tahun ini. Yang Dipertuanya, Mohamad Ahmad Ali, 57, mendakwa, ini kerana operasi bas Panorama ke kawasan berkenaan telah menyebabkan pendapatan mereka terjejas ekoran orang ramai tidak mahu lagi menaiki teksi.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak sepatutnya meluluskan permohonan perkhidmatan bas Panorama ke destinasi berkenaan kerana perkhidmatan bas sedia ada sudah mencukupi selain bas itu adalah bas pelancong yang sepatutnya hanya beroperasi di kawasan tumpuan pelancong."Sebelum bas panorama masuk ke Pantai Puteri awal tahun ini, sudah ada perkhidmatan bas dari syarikat Roda Juara dan Patt Hup. "Dua syarikat bas ini sudah mencukupi, tidak perlu tambah sebuah syarikat bas lagi. Lebih baik bas Panorama ini pergi beroperasi di laluan baru yang tidak menyediakan perkhidmatan bas," katanya ketika ditemui di sini.

Akhir catatan ini, saya masih terkenang bahawa zaman kanak-kanak saya banyak dihabiskan dengan menunggu bas untuk pulang dari sekolah ke rumah yang terletak tidak sampai 5 kilometer. Kepada pihak kerajaan, pertimbangkanlah permintaan mereka...

No comments:

Post a Comment