Thursday, October 6, 2011

Jom la naik bas...

Salah satu bas Panorama Melaka, kredit kepada blog JomNaikBas

Selamat bertemu lagi setelah agak lama tidak menyumbangkan artikel dalam laman ini. Mungkin sudah tidak releven lagi untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Semakin lama semakin terasa cepatnya masa berlalu. Sedar tidak sedar, Alhamdulillah saya sudah pun menamatkan semester II saya dengan UPSI. Insya Allah jika diizinkan, saya bakal mendirikan rumah tangga dengan calon pilihan sendiri.

Masih belum terlewat rasanya jika saya merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Jasin dan juga syarikat bas kerajaan negeri iaitu Panorama Melaka yang telah mengambil inisiatif memperkenalkan semula perkhidmatan bas henti-henti sepanjang laluan Jasin - Kesang Pajak - Selandar - Bkt Senggeh - Jus. Permulaan yang agak baik di mana pelancaran dilakukan seminggu sebelum sambutan Aidil Fitri yang lepas. Mungkin waktu ini saya akan semakin jarang melihat kelibat bas tersebut kerana tidak bekerja di Jasin lagi. Tulisan saya kali ini bukan bermaksud untuk mengkritik, cuma ingin memberi komen yang membina demi melihat perkhidmatan yang diperkenalkan ini boleh berkembang maju pada masa hadapan.

Saya sendiri terkejut apabila pulang ke kampung untuk meraikan Aidil Fitri tahun ini bila terserempak dengan bas kecil berwarna merah menyusuri kampung sendiri. Sememangnya dalam media di Melaka (Melaka Hari Ini) telah memberikan liputan meluas mengenai pelancarannya. Saya sempat mencari semula petikan berita tersebut di dalam arkib laman web berita itu. Antara perkataan pertama yang terlintas dalam fikiran saya ialah "wah, dah ada bas, bestnya, lepas ni pergi Jasin naik bas ajelah." Apabila saya tiba di kampung, saya bertanyakan perkhidmatan bas yang baru diperkenalkan itu kepada ahli keluarga. Mereka semua terkejut juga dan berkata "Betul ke?".

Akibat tidak berpuas hati, saya telah menjalankan siasatan secara bersendirian. Pergi ke Stesen Bas Jasin, masjid di sepanjang laluan, banting yang digantung, dan lain-lain untuk mendapatkan maklumat lanjut. Apa yang saya cari ialah, jadual perjalanan, risalah hebahan, pejabat operasi dan sebagainya. Namun ia amat mendukacitakan saya. Selepas "Edisi Siasat" dilakukan, tiada sehelai kertas pun yang menunjukkan jadual perjalan bas yang saya perolehi. Kesimpulan awal yang boleh saya buat mengenainya ialah, mutu pemasaran yang TIDAK EFISIEN sama sekali.

Mungkin ramai di antara kita yang sudah lali dengan perkhidmatan bas yang tidak cekap, tidak menepati masa, keselesaan yang terabai dan 1001 lagi masalah yang membelenggu bas awam. Janganlah akibat perancangan yang kurang teliti, sesuatu perkhidmatan yang saya kira amat baik ini akan gagal lagi. Biar saya meluahkan apa yang saya mampu ketengahkan untuk meningkatkan kualiti dan daya maju bas ini. Pertamanya, orang ramai atau kata lain, kumpulan sasaran mesti diberitahu. Saya tidak pasti berapa ramai yang melanggan akhbar Melaka Hari Ini di kampung saya. Yang pastinya, saya percaya masih ramai yang tidak menyedari "kemunculan semula" bas henti-henti setelah menghilang hampir lima tahun.

Keduanya, jadual waktu perjalanan. Ini AMAT PENTING. Mengapa? Supaya pengguna boleh membuat perancangan masa menunggu. Jika di kawasan Bandaraya Melaka, Panorama Melaka boleh memasang papan jadual waktu bas di setiap perhentian bas di sepanjang laluannya, mengapa ia tidak dibuat di sini? Semua orang mahu cepat dan setiap detik amat berharga. Sekarang tahun 2011, sudah sebelas tahun kita memasuki alaf 2000. Jika dahulu, orang tidak mampu membeli telefon bimbit, tetapi kini hampir setiap warga Malaysia mempunyai akaun facebook. Saya ingin mencadangkan, jika memasang jadual waktu perjalanan memerlukan kos yang tinggi, bukankah sekarang ini menggunakan laman maya lebih berkesan?

Ketiganya, seruan dan kempen yang berterusan. Saya masih belum nampak lagi satu usaha yang agresif yang telah dilakukan pihak syarikat mahu pun Majlis Perbandaran Jasin untuk mempromosi produk ini. Contohnya, mengadakan pas bulanan, diskaun bermusim, ganjaran kesetiaan dan sebagainya. Saya percaya malah amat berharap agar dalam tempoh tiga atau lima tahun akan datang, 30 peratus tempat duduk dalam bas merah ini sentiasa penuh dari trip pertama hingga trip terakhir. Justeru, pihak yang berkepentingan mestilah kreatif dan dinamik dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada pelanggan.

Akhir kata buat masa ini, saya menyeru kepada orang-orang kampung saya malah seluruh rakyat Melaka, sokonglah perkhidmatan pengangkutan yang baik ini. Jimatkanlah penggunaan bahan api fosil. Contohilah masyarakat negara maju yang kurang berbelanja untuk kenderaan persendirian demi perancangan kewangan yang lebih berkualiti dan mesra alam...

No comments:

Post a Comment